Friday, December 4, 2009

Pemimpin, KEZALIMAN, dan DOA

Assalamualaikum w.b.t

Dalam minggu ini, terdapat satu berita yang boleh dikatakan agak sensasi iaitu berita mengenai Doa. Ekoran daripada berita inilah membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk membaca buku buku yang ada dalam simpanan. Terdapat banyak pendangan dan pendapat mengenai isu ini. Masing masing mengeluarkan pendapat berdasarkan pengetahuan, rujukan dan ilmu masing masing. Ekoran daripada itu, terdapat sekumpulan manusia yang berkumpul(beberapa hari lalu) mendesak supaya TG Nik Aziz meletakkan jawatan manakala pada hari ini, beratus2 kali ganda manusia berkumpul menyatakan sokongan terhadap kepimpinan TG Nik Aziz.

Memandangkan saya ni "oghe kelate", ada yang YM bertanya tentang situasi sebenar. "Apa kisah TG Nik Aziz ni??? Tak brape paham" Begitu lah lebih kurangnya. Ok, sebenarnya yang menjadi sebab wujudnya isu ini adalah berkaitan dengan isu "ROYALTI MINYAK".

Mengikut kefahaman saya yang cetek ini, ROYALTI MINYAK di beri kepada negeri yang perairannya mengandungi minyak yang di lombong oleh Petronas seperti yang di perolehi oleh Sarawak, Sabah dan T'ganu(di T'ganu di berhentikan ketika PAS memerintah dan baru sahaja di mulakan balik dan sepanjang PAS memerintah di berikan wang ehsan yang "dikatakan" di beri terus kepada rakyat). So, kenapa pulak Kelantan nak mintak ROYALTI?? Sebab nya adalah berdasarkan laporan dari Petronas ada menyatakan bahawa Kelantan adalah pengeluar minyak. Jika benar ape yang saya tahu ini, memang sepatutnya Kelantan turut mendapat Royalti Minyak ini dan sekiranya salah, maka bukan setakat ROYALTI, WANG EHSAN pun tak perlu kerajaan pusat beri.

JIKA BENAR Kelantan patut menerima WANG ROYALTI MINYAK seperti 3 negeri pengeluar yang lain, tetapi pemimpin atasan yang mempunyai kuasa (didunia ini selagi dia memilikinya) tidak memberikan hak ini, ia bermakna pemimpin tersebut telah TIDAK BERLAKU ADIL, TIDAK MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA, TIDAK MENUNAIKAN JANJI (seperti yang termenterai dalam perjanjian), dan telah MENZALIMI SELURUH RAKYAT KELANTAN (semoga Allah s.w.t memberi petunjuk dan hidayah kejalan yang diRedhai-Nya kepada diri saya, kepada pemimpin pemimpin dan seluruh umat Islam)

Dalam penulisan ini, saya bukan nya nak komen tentang DOA yang di buat oleh TG Nik Aziz, tetapi kisah kekuatan doa. Mungkin banyak lagi kisah kisah yang boleh kita jadikan pengajaran dan panduan dalam hidup kita, tetapi saya tertarik untuk berkongsi kisah ini mungkin sebab situasi semasa dan kebetulan baru sahaja baca mengenai kisah ini dalam pukul 1 pagi tadi.....

-------------------------------------------------

Daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu Anhuma baginda berkata Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman dan baginda bersabda, "Takutlah akan doa orang yang di zalimi, kerana sesungguhnya ia (doa tersebut) tidak ada penghalang antaranya dengan Allah s.w.t" (1)

Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Muadz bin Jabal (seorang yang soleh, zuhud, bertakwa dan warak) ke Yaman untuk menjadi penguasa di sana. Rasulullah s.a.w menasihati Muadz dengan nasihat ini agar orang selainnya lebih memperhatikannya. Muadz bin Jabal, seorang soleh bertakwa dan zuhud telah di nasihati oleh junjungan kita supaya takut akan DOA ORANG YANG DI ZALIMI sebelum di hantar menjadi penguasa. Tidak terfikirkah kita akan sebab sebab nasihat Rasulullah s.a.w itu?

Ternyata Rasulullah s.a.w sentiasa
i) mengingatkan para sahabatnya agar tidak terjerumus di dalam LEMBAH KEZALIMAN.
ii) memperingatkan para sahabatnya untuk berhati hati atas akibat yang timbul di sebabkan kezaliman, serta pengaruhnya amat pedih.
iii) MENGAJAK para sahabatnya untuk MENOLONG ORANG YANG DIZALIMI atau di aniaya dengan pelbagai cara yang diMASYRU'KAN.

"TAKUTLAH AKAN DOA ORANG YANG DIZALIMI"

Sebilangan daripada hadis Rasulullah s.a.w menyebut bahawa KEKUATAN DOA ORANG YANG DIZALIMI tidak akan ditolak. Diantaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Tirmidzi dan Abu Daud daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Terdapat tiga golongan manusia yang doanya tidak ditolak, orang yang berpuasa sehinggaia berbuka, SEORANG PEMIMPIN YANG ADIL dan DOA ORANG YANG DIZALIMI, yang di angkat Allah dan dibukakan Allah baginya pintu langit dengan firman-Nya, "Demi kebesaran-Ku, Aku akan menolongmu, walau setelah nantinya.""

"Terdapat tiga doa yang mustajab dan tidak ada keraguan di dalam kemustajabannya DOA ORANG YANG DIZALIMI, doa seorang yang di dalam perjalanan dan doa orang tua kepada anaknya."

"Takutlah akan DOA ORANG YANG DIZALIMI, sesungguhnya ia akan naik ke langit seakan-akan seperti percikan bunga api"(2)

Menurut penulisan Dr Muhammad Bakar Ismail didalam buku nya yang diterjemahkan ke bahasa melayu yang bertajuk "Wasiat-Wasiat Rasulullah s.a.w"(3), doa seseorang yang teraniaya adalah mustajab dan akan dikabulkan Allah s.w.t tanpa sebarang syarat ataupun kriteria. Doa tersebut di angkat secara langsung ke hadapan Allah s.w.t untuk diadili dengan penuh kebenaran dan tanpa sebarang halangan.

Diriwayatkan daripada Ahmad di dalam musnadnya daripada Abu Abdullah Al-Asadiy berkata; "Aku mendengar Anas bin Malik Radhiallahu Anhu berkata, "Rasulullah s.a.w telah bersabda, "DOA SESEORANG YANG DIZALIMI walaupun dalam keadaan KAFIR, tidak ada hijab"""(4)

Terdapat satu kisah yang diselit kan di dalam buku (3) yang patut dibaca, direnung, di ambil akhtibar dan disampaikan terutama kepada sesiapa yang bergelar PEMIMPIN dan yang bakal menjadi pemimpin tak kira samaada PEMIMPIN NEGARA, PEMIMPIN NEGERI, PEMIMPIN DAERAH, PEMIMPIN KAMPUNG mahupun PEMIMPIN PERSATUAN atau pun PEMIMPIN GERAKAN.

Diriwayatkan bahawa salah seorang raja daripada bani Israil membangunkan satu Istana megah yang besar dan sangat indah bentuknya. Tiada sebarang kecacatan pada binaan Istana tersebut, kecuali pondok seorang wanita jompo. Oleh yang demikian raja merobohkan pondok wanita tersebut. Saat wanita tersebut melihat rumahnya telah hancur, dirinya bertanya, "Siapakah yang menghancurkan rumahku ini." Lalu ada yang menjawap, "Sang raja." Kemudian wanita ini pergi menemui sang raja dan ingin memintak haknya. Sesampai di istana wanita ini berkata,"Apakah benar engkau yang telah menghancurkan pondokku?" Sang raja berkata, "Ya, benar." Kemudian wanita itu bertanya, "Mana HAKku," sang raja menjawap,"Tidak ada HAK bagi dirimu," Wanita itu kemudian berkata, "Demi Allah s.w.t, aku akan menDOAkanmu." Lalu ia pun menDOAkan agar sang raja diberikan balasan atas perbuatan kezaliman yang telah dilakukannya.

Pada waktu malam telah tiba dan saat semua mata telah terlelap dibuai tidur mereka, Allah s.w.t merobohkan istana sang raja. Allah s.w.t meninggalkan satu potongan ayat yang tertulis pada salah satu dindingnya yang tersisa iaitu,

Apakah engkau meremehkan DOA ORANG YANG DIZALIMI
Dan engkau tidak mengetahui apa yang dibuat DOA itu
Hukum Allah s.w.t lah yang engkau lihat ini
Dan tidak ada hukum kalian yang kekal bentuknya.

Kisah di atas ini bukannya bertujuan untuk menakutkan dan seterusnya menyebabkan tidak ada yang sanggup menjadi PEMIMPIN seterusnya sehingga berjaya menaikkan PEMIMPIN YANG TIDAK TAHU QURAN(tahu merangkumi memahami, menghayati dan mengamalkannya serta yang seangkatannya), tetapi supaya kita berwaspada dengan setiap keputusan kita apabila kita menjadi PEMIMPIN. Pelajari lah dan dalamilah ilmu sebanyak yang boleh sebelum anda menjadi PEMIMPIN walaupun PEMIMPIN KELUARGA......

Saya amat tertarik dengan cara Umar Abdul-Aziz memimpin. Penolakan beliau di atas perlantikan beliau juga amat berbeza dengan kebanyakan pemimpin dizaman sekarang. Bila agaknya nak habis baca buku "Pembaharuan & Reformasi Umar Bin Abdul Aziz (Dr. Ali Muhammad Muhammad Ash-Shallabi)"


References;
(1) Diriwayatkan daripada Bukhari di dalam Al-Mazalim dan diriwayatkan daripada Tirmidzi di dalam Al-Bir wa Ash Shilah, serta Abu Daud di dalam Az Zakat dan juga lainnya.
(2) Di riwayatkan daripada Hakim daripada Ibnu Umar. Para periwayatnya sesuai dapat disandarikan kecuali 'Ashim bin Kulaib, yang hanya Muslim yang bersandar para periwayatnya. Hadis ini disebutkan oleh Al-Mundziri di dalam "At Targhib Wa At Tarhiib".
(3) Dr Muhammad Bakar Ismail, "Wasiat Wasiat Rasulullah s.a.w: Pengaruhnya Terhadap Pembentukan Peribadi Individu & Masyarakat", Terjemahan Bahasa Melayu, Jilid 1/3, 2008.(Tulisan bewarna ini di petik dari buku ini)
(4) Al-Mundziri berkata di dalam "Targhib Wa At Tarhiib", "Periwayat hadis ini Abdullah dapat disandarkan periwayatnya dan ini adalah hadis sahih, sedangkan Abu Abdullah belum ditemukan di dalam Jarah wa At Ta'dil.



Ilmu tambahan:
a) http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/26apr/berita13.htm :-menarik. Kuliah mengenai kekuatan Doa. Supaya dapat mengelakkan diri kite dari tergolong dalam golongan orang yang bertindak zalim. Di akhir kuliah turut ditulis tentang kepentingan menjaga makanan(sumbernya). InsyaAllah jika ada kesempatan dan kekuatan akan di tulis berkaitan dengan ilmu Mua'malat.

b) Berhati hati memilih Pemimpin : Oleh Dr Danial Zainal Abidin....

Nota1: Penulisan ini berdasarkan pemahaman dan pengetahuan saya yang cetek. Sebarang kesilapan dalam menyampaikan cerita ataupun kisah dan fakta harap dimaafkan.

Nota2: Semoga kita terselamat dari ilmu yang sesat. "Tunjukilah kami jalan yang lurus."